‘Toxic People’ vs ‘Unsung Hero’
copy paste dr blog Ust Pahrol
‘Toxic People’ vs ‘Unsung Hero’
“Belajarla merasa bahagia dengan membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain,“ pujuk saya.
“Senanglah saudara cakap begitu kerana saudara tidak mengalaminya. Jiwa saya tersiksa sungguh. Dulu projek tu sayalah yang memberi idea. Saya juga yang memulakannya. Pada waktu itu mereka melihat sahaja dengan penuh sinis. Tapi saya sejak dulu lagi sudah optimis, projek yang saya ilhamkan itu akan berjaya.”
“Masalahnya?”
“Setelah berjaya saya diketepikan. Mereka yang sinis dahulu beria-ria pula mendabik dada, konon kejayaan projek itu hasil usaha mereka,” ujarnya sedih.
“Allah Maha Mengetahui. Insya-Allah, Allah akan memberi ganjaran atas kebaikan saudara walaupun manusia lain mkelupakannya.”
“Betul macam yang diungkapkan oleh peribahasa lama, lembu punya susu, sapi dapat nama.”
“Biarlah sapi dapat nama, insya-Allah jika ikhlas kita dapat pahala dan keredaan Allah,” pujuk saya terus menerus.
“Saya sakit hati…”
“Saudara, bukan saudara seorang sahaja yang pernah melalui nasib begini, ramai orang telah melaluinya. Jika tidak, tidaklah timbul istilah ‘unsung hero’,” jelas saya.
“Unsung hero?”
“Ya, wira yang tidak dicanangkan atau didendangkan. Dia berjasa tetapi dilupa. Dia berbudi, tetapi dikeji. Pada setiap generasi perjuangan pasti ada golongan yang tidak disebut-sebut namanya, tidak dkenali apatah lagi dipuja, tetapi hakikatnya merekalah orang yang paling banyak berjasa dan berbakti.”
“Kenapa begitu? Adilkah?”
“Allah sedang mengajar saudara,” kata saya hampir berbisik. Mengalih fokus perbualan kepada dirinya dan saya.
“Allah sedang mengajar saya?”
“Allah mengajar saudara melalui mereka.”
“Apa yang Allah sedang ajar saya melalui perlakuan mereka?”
“Allah mengajar saudara tentang ikhlas!” tusuk saya perlahan.
Dia terdiam. Sebenarnya saya turut simpati dan empati dengan nasibnya. Ketika dia selayaknya tersenyum kerana kejayaannya, sebaliknya dia bersedih, rasa terpinggir dan hampir dilupakan.
“Saya geram dengan pengampu dan pembodek. Saya benci dengan siasah pembelit yang licik dan berstrategik,” ujarnya berterus terang.
“Saudara, jika kita sibuk melakukan kebaikan, kita tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain. Jika kita masih sempat, itu petanda kebaikan yang kita buat masih sedikit. Dan kita masih belum benar-benar baik,” balas saya dengan nada memujuk.
“Oh, sukarnya,” katanya hampir mengeluh.
“Saudara patut bersyukur dengan kesukaran itu.”
“Kenapa? Bukankah sepatutnya saya bersabar?”
“Kita wajar bersyukur kerana Allah hendak menyelamatkan kita daripada riyak dan takbur atas kebaikan yang telah kita lakukan. Tanpa sanjungan, tanpa pujian, bukankah rasa takbur dalam hati kita akan tertekan? Rasa riak juga akan terhenyak?”
“Benar juga kata saudara. Tetapi sungguh, sukar sungguh untuk mendidik hati agar rasa begitu.”
“Saudara, dalam setiap perjuangan juga ada golongan yang dinamakan ‘toxic people’.”
“Toxic people?”
“Golongan yang berpura-pura dan menikam dalam diam. Ujudnya golongan ini seiring dengan wujudnya wira yang tidak didendangkan tadi.”
“Maksud saudara?”
“Justeru adanya toxic people inilah menyebabkan wujudnya unsung hero!”
“Awak ni ada-ada sahaja, “ katanya sambil tersenyum.
Alhamdulillah saya akhirnya dapat menyebabkan wajahnya yang murung tadi ceria sedikit.
“Toxic people ini tidak banyak kerja untuk orang lain melainkan bekerja untuk kepentingan diri. Dia mengampu yang di atas, menyiku yang sebaya dan menekan yang di bawah.”
“Saya akan lawan mereka!”
“Jangan. Pembelit akan terbelit dengan jeratnya sendiri.”
“Pujuklah hati agar berbahagia dengan keikhlasan bukan dengan harapan agar orang yang tidak sehaluan dimusnahkan. Tidak ada ketenangan jika ada kebencian.”
“Berapa lama harus saya bersabar, eh… bersyukur?”
Saya tersenyum.
“Sabarlah dalam bersabar. Dan syukurlah sehingga tidak dapat diukur…”
“Ini pasrah atau mengalah?”
“Tidak kalah dengan mengalah.”
Saya dapat menyelami perasaannya. Setiap kita pasti diuji – isteri yang setia oleh kecurangan suami, majikan yang adil oleh pekerja yang tamak, pengikut yang setia oleh pemnimpin yang zalim. Dunia ini memang tidak adil… sebab itu perlunya ada akhirat. Di sanalah keadilan yang hakikit dan mutlak akan tertegak.
“Kenapa kita sering tertekan bila diuji begini?” jolok saya bila melihat dia mengelamun.
Dia diam.
“Kalau disusur dengan hati yang paling jujur, dimuhasabah dengan jiwa yang paling saksama, pasti di sebalik semua itu adalah kepentingan dunia jua,” kata saya.
“Sebab tidak naik pangkat, tidak dapat ganjaran, tidak dapat pujian dan sanjungan… Bukankah begitu?”
Dia diam. Matanya berkaca.
“Marilah sama-sama kita akui, kita pun jahat juga. Mungkin kita juga bukan ‘unsung hero’, sebaliknya kita juga hakikatnya ‘toxic people’!”
“Siapa yang mampu menilai siapa kita?”
“Dalam Al Quran Allah telah tegaskan dengan firman-Nya: Beramallah nanti Allah, Rasul dan orang mukmin akan menilai amalan kamu itu. Tiga itulah penilai yang paling tepat. Selain daripada itu ketiga-tiga itu semuanya tersasar.”
“Sekarang saya faham mengapa sejarah sering diselewengkan hinggakan wira dianggap penderhaka, penderhaka dianggap wira.”
“Kecuali sejarah yang dibawa oleh Al Quran dan As sunah.”
“Jika tidak kita akan memuji Haman pengampu Firaun berbanding Masyitah (tukang sikat rambut) bagi anak perempuan Firaun. Tentulah Haman lebih tersohor, kerana dia bertaraf menteri bagi sebuah negara. Sebaliknya Masyitah hanya seorang kuli biasa,” jelasnya menguatkan keterangan saya.
Saya tersenyum. Masih terbayang dalam ingatan bagaimana pada suatu ketika dahulu buku-buku sejarah (yang menyalin bulat-bulat fakta dan idea penjajah) menyanjung residen-residen British seperti Hugh Low, Frank Swetenham, Clifford dan lain-lain manakala Dato’ Bahaman, Dato’ Maharajalela, Tok Janggut, Mat kilau dan lain-lain dilabelkan sebagai penderhaka. Itu tidak termasuk lagi figur seperti Kamal Ataturk yang dianggap sebagai wira Turki padahal dialah yang paling banyak merosakkan Islam di Turki dan khalifah dalam dunia Islam.
“Namun begitu, betapa licik sekalipun strategi dan putar-belit ‘toxic people’ ini mereka tidak akan dapat menipu semua orang pada setiap masa. Lebih-lebih lagi mereka tidak dapat menipu diri sendiri.”
“Maksud saudara mereka tidak akan bahagia walaupun dengan jawatan, nama dan harta yang mereka miliki?”
“Mereka mendaki ke puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Hidup mereka sentiasa tidak senang kerana asyik memikirkan perancangan kejahatan. Mereka akan sentiasa dibayangi oleh orang yang mereka benci ke mana sahaja mereka pergi. Orang yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.”
“Tenang sedikit saya mendengarnya.”
“Mendengar yang mana satu?”
“Yang mana satu?” tanyanya semula.
“Mendengar pembalasan yang akan menimpa ‘toxic people’kah atau ketenangan yang bakal dimiliki oleh ‘unsung hero?”
Dia tersenyum.
“Kita harus ingat, ramai orang yang tidak bahagia dengan jawatan, harta dan nama yang tersohor tetapi lebih ramai orang yang tidak bahagia kerana dengkikan harta, jawatan dan nama yang dimiliki oleh orang lain. Yang satu ‘tak dapat’ apa yang mereka dapat. Yang satu golongan lagi ‘tak dapat’ apa yang mereka memang tak dapat!”
“Kesimpulannya?”
“Biarlah sapi yang dapat nama… kerana kita bukannya lembu yang terkenal dengan kedunguannya!”
Teringat pula perumpamaan orang tua-tua dahulu, bodoh macam lembu. Relakah kita menjadi ‘lembu’ hanya kerana dengkikan sapi yang sering mendapat nama? Katakan tidak, kerana Allah, Rasul dan orang Mukmin akan menilai kerja kita. Itu lebih penting! Dan tiba-tiba saya teringat sebuah nasyid yang didendangkan oleh Mujahid nasyid yang telah pergi – Ustaz Asri Ibrahim. Katanya, “mana milik kita? Tidak ada milik kita.. Semua yang ada, Allah yang punya!”
p/s: ikhlas nmpk kecil, tp impaknya sgt besar..
Comments
teringat dialog dlm movie sang murobbi..
ada 2 perkara yang kamu kena ingat: kebaikan orang pada kamu dan keburukan kamu pada orang. dan ada 2 perkara yang kamu harus lupa: kebaikan kamu pada orang dan keburukan orang pada kamu...
jom kita sama2 praktis^
thanks kak atas pkongsian ni...